Khamis, 9 April 2009

Tentang PPSMI : Peja jawab Zana

Terlebih dahulu tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Zana kerana berani menyahut cabaran menulis satu entry khas kenyataannya menyokong PPSMI. Dengan tulisan sebegini kita akan dapat menilai sikap dan perwatakan penulis tentang pandangan serta kefahamannya tentang sesuatu isu. Soal kebenaran dan hakikat sesuatu isu, kita pulangkan semula kepada Sang Pencipta. Kerana kita hanyalah hambaNya yang singgah sementara di dunia ini untuk menguruskan soal-soal kemaslahatan hidup dan memimpin manusia lain ke arah kebaikan sebelum kita pulang semula ke pangkuanNya bila-bila masa dari sekarang. Di bawah saya cuba menjawab persoalan yang ditimbulkan berdasarkan pembacaan, kefahaman, rujukan dan hasil perbincangan dengan sahabat-sahabat sealiran fikiran dengan saya. Semoga usaha kecil kita diberkati Tuhan. Silakan membaca dan terus berbahas.


(Jawapan ini agak panjang, jadi seeloknya di cetak dan dibaca untuk direnungkan).



Kenyataan Zana

PPSMI merupakan satu sistem yang akan membantu rakyat Malaysia membangun seiring dengan pembangunan teknologi



Jawab Peja

Ini kenyataan siapa? PPSMI baru sahaja dilaksanakan pada tahun 2003 dan sehingga kini baru 6 tahun terlaksana. Siapa diri kita dengan berani menyatakan (lebih kepada andaian dan perasaan) PPSMI ini akan membantu rakyat Malaysia membangun seiring dengan pembangunan teknologi. Sudah ada kajian kah? Berapa data yang terkumpul?

Sudahkah membaca laporan dan kajian yang dijalankan oleh penyelidik (Rujuk Salbiah Ani, Berita Harian: Kerajaan perlu mengkaji semula PPSMI dan buku MENGAPA KAMI BANTAH edisi ke-2)

Siapa dan berapa ramai tokoh-tokoh pendidikan, sains teknologi, ekonomi selain Tun M yang hanya ’mengandaikan’ secara membuta tuli persepsi membangun dan majunya Malaysia dengan pelaksanaan PPSMI ini.



Kenyataan Zana

Teknologi kini berkembang dengan begitu pesat tanpa mengambil kira siapapun kita. Apa yang saya cuba sampaikan adalah proses pengenalan teknologi dari peringkat awal dalam bahasa inggeris akan membantu generasi akan datang bergerak seiring dengan pembangunan teknologi.



Jawab Peja

Memang tidak dapat dinafikan teknologi berkembang dengan pantas dan tidak mempedulikan siapa sahaja di belakang. Jadi adakah tugas kita hanya membontot dan menurut sahaja di belakang pencipta teknologi sepanjang masa tanpa melakukan inovasi. Dan kita kena ingat, tidak ada bangsa yang dapat maju menggunakan bahasa asing (Rujuk posting saya yang bertajuk Fakta Bahasa dan Kemajuan di dlm blog ini atau juga boleh merujuk di SINI).

Pengenalan sains, matematik dan teknologi telah dijalankan oleh kerajaan Malaysia menggunakan Bahasa Melayu sejak tahun 60-an lagi. Sila semak Penyata Razak (1956) yang menyatakan :


"Menyatukan sistem pelajaran untuk membina satu bangsa yang bersatu padu dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, yakni sebagai bahasa penghantar utama. " (Tun Abdul Razak Hussein..1956).


Dengan Penyata Razak inilah Malaysia kini sudah maju ke hadapan berbanding dengan negara-negara lain YANG SETARAF berbanding negara-negara yang masih menggunakan BI dalam pengajaran Matematik dan Sains mereka di dunia seperti Filipina, Bostwana, sebahagian negara Afrika Utara dsbgnya).



Kenyataaan Zana

Isunya di sini ialah penguasan kita dalam menjelajah teknologi moden dimana rata-rata teknologi dibukukan/internet dalan bahasa inggeris.. Kita kena realistik dengan keadaan semasa..Ini bukan isu tentang penterjemahan.. Isu penguasaan Sains and math dalam BI untuk mendalami teknologi asing.



Jawab Peja

Ini sekali lagi kenyataan simplistik (ambil mudah) Kita di sini ialah kita semua, generasi muda yang akan mewariskan apa sahaja yang kita miliki pada masa kini untuk generasi masa hadapan. Soalnya adakah kita sudah menguasai sains dan teknologi? Generasi kita dan generasi sebelum ini sudah menguasai sains dan teknologi dengan kejayaan kita belajar dalam Bahasa Melayu sejak dari sekolah rendah sehingga peringkat lepasan ijazah dan berjaya menjawat jawatan penting yang berkaitan dengan sains dan teknologi (Pensyarah, RO, RA, SC Officer, guru sains dan sebagainya). Sehingga kini kita sudah memiliki ratusan malah mencecah ribuan buku-buku teks sains dan teknologi berbahasa Melayu yang ditulis dan diterjemahkan oleh pensyarah dan pakar bidang masing-masing. Mengapa pula TIDAK kita mengambil peluang menganggotai mereka dan bersama-sama mereka memajukan sains dan teknologi dalam BM. Sampai bila kita harus jadi pemerhati dari jauh tanpa melibatkan diri. Inilah masanya untuk kita bertindak! Bukan bercakap kosong perkara-perkara remeh temeh!



Kenyataan Zana

Sistem penggunaan BM dalam Sains dan Matematik diperingkat sekolah rendah dan menegah telah digunapakai sejak sekian lama. Tetapi kita masih lagi ketinggalan.. Kenapa? Ini kerana proses penterjemahan berlaku dengan begitu lambat.. sedangkan teknologi bergerak dengan begitu pantas.. Baru hendak menterjemah satu buku seribu lagi buku BI keluar..Berjuta-juta artikel BI keluar setiap hari..



Jawab Peja

Ketinggalan? Dengan siapa kita bandingkan? Dengan US dan UK (yang BI adalah bahasa ibunda mereka). Cubalah buka minda, berapa ramai penduduk Britain dna US, dan berapa tahun kita merdeka?. Bagaimana dengan Perancis, German dan Russia (yang tidak menggunakan BI dlm Sains dan matematik). Cubalah bandingkan pula dengan Belanda (yang keluasan negaranya lebih kecil dari negeri Pahang) Ok mungkin tidak adil menggunakan Belanda sebab mereka sudah maju terlalu lama. Nah, sekarang cuba jenguk negara-negara Asia seperti Taiwan, Jepun, Korea, Thailland dan sebagainya. Adakah mereka sudah sudah lama merdeka? Tidak! Korea hampir sama tarafnya dengan Malaysia pada tahun 70-an dahulu. Thailand pun begitu juga. Taiwan? Bacalah sendiri sejarah! Jangan pula memberi alasan mudah tiada masa untuk membaca dan mengkaji kalau kita benar-benar serius demi melihat kemajuan bangsa dan negara. Dan lihatlah sendiri tahap kemajuan yang diraih oleh mereka


Negara-negara ini mempunyai rakyat yang sangat cintakan bahasa, ilmu pengetahuan dan negara mereka sendiri. Malah sanggup mati pun demi cintakan tanahair. Sikap dan mentaliti rakyatnya juga jauh lebih patriotik daripada bangsa kita yang terang-terangan kebanyakan masih terjajah mindanya (captive mind ) walaupun secara fizikal kita sudah bebas merdeka.Bukti sikap dan kekuatan bekerja mereka ialah setiap tahun, puluhan ribu buku-buku asing diterjemahkan ke dalam bahasa mereka. Ya, hampir keseluruhan rakyat mereka. Bukan beberapa kerat yang bersemangat

Ia bertujuan memandaikan bangsa sendiri.

Tahukah kita, China, Iran dan Korea yang menghantar satelit ke orbit menggunakan manual dan rujukan dalam bahasa ibunda mereka.



Tulis Zana

Satu lagi kekeliruan melanda saya apabila penyokong PPSMI menentang PPSMi tapi ada kenyatan dibuat supaya belajar teknologi bangsa asing kemudian diterjemahkan dalam bahasa ibunda..Bagaimana kita hendak belajar teknologi tanpa penguasaan bahasa mereka? Baiklah.. Jawapan yang diberikan begini.. "Itu tugas pensyarah dan lecturer"



Jawab Peja

Saya agak keliru dengan ayat Bahasa Melayu baris pertama tulisan Zana. Mungkin maksud Zana begini, ‘Saya keliru dengan kenyataan penentang PPSMI’.

OK, penguasaan sains dan teknologi dapat dilakukan sekiranya kita faham PROSES DAN FENOMENA SAINS & TEKNOLOGI. DAN MESTI KITA INGAT SERTA TAHU, PROSES/FENOMENA SAINS ITU BUKAN LAH BAHASA. Cth: mana mungkin metal oxide (oksida logam), Semiconductor (Semikonduktor), impurities (bendasing), Quantum Mechanic (Mekanik Kuantum), Nanotechnology (teknologi nano), photosynthesis (fotosintesis) ini dapat ditakrifkan sebagai Bahasa Inggeris. Jelas ini adalah fenomena/proses sains. Bukan bahasa!


Untuk menerangkan proses sains ini memerlukan kemahiran berbahasa inggeris yang dikenali dengan KOMUNIKASI. Jadi kenapa dikelirukan PPSMI ini dengan kepentingan KOMUNIKASI BERBAHASA INGGERIS. Saya yakin, pada masa sekarang guru-guru English hanya diam-diam sahaja dan takut sekiranya kerajaan menghapuskan PPSMI dan mengarahkan pembelajaran BAHASA INGGERIS ini dipertingkatkan di seluruh sekolah tanpa melibatkan sains dan matematik sepertimana sejak sekian lama. Nescaya guru-guru BI ini tidak menang tangan.


Jadi tidak timbul, soal untuk menguasai SAINS DAN TEKNOLOGI dalam BAHASA APA SEKALIPUN TERMASUK BI SEKIRANYA KITA SUDAH FAHAM FENOMENA DAN PROSES SAINS ITU SENDIRI.



Tulis Zana

Dan ini juga berlaku akibat meletakkan tanggungjawag menterjemah buku kepada pensyarah dan ahli akademik sahaja.. Sedangkan tanggungjawab untuk mempercepatkan prosess ini terletak pada semua yang terlibat dalam bidang sains dalm teknologi sendiri termasuk pegawai penyelidik, pegawai sains, guru-guru dan juga penentang PPSMIsendiri.. Ada berapa buku sains yang telah diterjemahkan oleh penentang PPSMI? 100,1000,sejuta? Berapa nisbahnya dengan buku BI dipasaran. Kandungan buku yang telah diterjemah seiring tak dengan teknologi di pasaran? Jadi kalu bercakap sahaja tidak boleh digunapakai juga.Sekali lagi.. tolong la realistik.. tak boleh berhujah jer.. atau tunjukkan buku-buku orang lain saja..kena tunjukkkan keupayaan sendiri juga..lagi-lagi la kalu penentang PPSMI berlatar belakangkan Sains & tek..terjemah buku, tulis buku dulu.. Baru boleh hemtam orang lain..dan jangan letak tanggungjawab pada pensyarah saja kalu tak sanggup nak menyumbang.. bak kata sahabat kita Wani" Dah buat 10 buah buku baru cite".




Jawab Peja

Nah, satu lagi kenyataan melulu penuh dengan emosi tanpa didahulukan dengan faktor kesedaran. Setiap manusia dan lapangan pekerjaan yang diceburi tidaklah sama antara satu sama lain. Tugas ahli akademik di universiti ialah menyebarkan ilmu dalam bentuk penyelidikan, pengajaran dan menulis (terutamanya jurnal, kertas kerja konferens dan yang paling tinggi adalah buku yang menunjukkan tahap keintelektualan mereka). Suatu waktu dahulu (era 70an - 90an, proses menulis buku-buku akademik menjadi satu motivasi kepada pensyarah untuk kenaikan pangkat dan faktor kesedaran bahawa kurangnya penerbitan bermutu tinggi dalam bahasa melayu. Lantas mereka menulis dan menterjemah dengan baik walaupun bilangan pensyarah pada waktu itu tidaklah terlalu ramai berbanding era millenium ini. Jadi timbul persoalan, apakah pensyarah-pensyarah zaman kini masih lagi mempunyai motivasi dan sikap patriotik menyebarkan ilmu dan memandaikan bangsa seperti generasi terdahulu? Malah generasi dahulu serba kekurangan dari segi teknologi dan bahan rujukan. Malah buku-buku teks rujukan sains dan teknologi berbahasa melayu yang memandaikan kita selama ini sebenarnya di tulis oleh penentang PPSMI (Rujuk Persatuan Akademik, badan ikhtisas yang menentang PPSMI dalam buku MENGAPA KAMI BANTAH)


Satu lagi persoalan, apakah yang difikirkan dan bermain dalam minda pensyarah-pensyarah zaman moden. Ini hanya boleh dijawab oleh pensyarah generasi kini, apakah kemuncak tujuan hidup mereka sebagai seorang pensyarah dan pendidik. Saya tidak boleh jawab sebab saya bukan ahli akademik.


Ok, saya kini berjawatan pegawai sains yang terlibat dalam aktiviti membantu para ahli akademik dan projek penyelidikan yang mereka jalankan. Pada masa yang sama atas kesedaran untuk memajukan diri, dicuba juga untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman dengan mendaftar sebagai pelajar lepasan ijazah walaupun separuh masa. Dan alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar dan seluruh pelajaran dan pengajian, serta tindakan diri saya adalah bermatlamat untuk memandaikan diri sendiri dan bangsa melayu khususnya. Ditakdirkan ke Kanada, saya menangguhkan dulu pengajian buat sementara waktu. Masih belum menulis sebuah buku pun, tetapi sudah menerbitkan lebih 30 artikel sains dan teknologi berbahasa melayu yang bukan bersifat akademi. Bukan niat untuk membangga diri tetapi sebagai motivasi dan cabaran kepada yang berjawatan lebih tinggi dari pegawai sains. Untuk lebih lanjut, sila ke blog saya di www.mikronano.blogspot.com atau www.mundarmandir2.blogspot.com.


Oleh itu, cuba kita bayangkan, setiap seorang di kalangan kita menyumbang setiap apa yang difahami dan dikuasai ke dalam bahasa ibunda. Malaysia mempunyai penduduk sekitar 22 juta orang dengan pecahan berbangsa Melayu sebanyak 60 - 70%. Bagaimana sekiranya budaya ilmu, kecintaan yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan termasuk sains dan teknologi, aktiviti membaca yang hebat serta kegiatan menulis dan menterjemah yang rancak disamping motivasi yang tinggi untuk memajukan anak bangsa dilakukan. Di samping itu, usahlah kita bercakap tanpa menggunakan akal yang waras. Bagaimana untuk menulis buku sekiranya tulisan Bahasa Melayu pun tunggang terbalik inikan pula Bahasa Inggeris. Namun pada masa yang sama masih berkeras menyatakan bahawa Tidak-Akan-Hilang-Bahasa-Melayu-Kalau-Melaksanakan-PPSMI.


Kepada penyokong PPSMI , bukalah mata seluas-luasnya. Sudah berapa banyak buku yang terhasil, sudah berapa jurnal yang kita tulis dan sudah berapa penerbitan berbahasa inggeris menerima makalah/rencana/tulisan anda. Sekiranya isu PPSMI ini difahami dari awal tanpa diputar belitkan oleh sesetengah golongan yang sempit fikirannya, sudah tentu isu PPSMI ini tidak timbul dan tiada pun golongan yang menentang.


Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Penyokong PPSMI menyokong membuta tuli tanpa fakta, hasil kajian, pendapat cendekiawan sains dan teknologi, bahasa, budayawan dan para simpatisan walaupun disuguh dengan bahan-bahan rujukan yang penting. Manakala penentang pula, lebih banyak menentang tanpa membuktikan sesuatu. Oleh itu saya menyahut cabaran tersebut dengan membuktikan bahasa melayu juga boleh ditulis untuk menerangkan sains dan teknologi. Maka di sinilah tugas kita yang masih muda untuk menggalas cabaran memajukan bahasa melayu, sains & teknologi dan budaya ilmu di dalam negara, Usahlah kita menganiaya pelajar-pelajar di peringkat sekecil di sekolah rendah dengan beban pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang asing bagi mereka. Tidak usahlah kita berpolemik tanpa berpijak dibumi nyata menyatakan kanak-kanak perlu diasuh menggunakan BI sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik. Ini semua pendapat yang tidak dapat diterima oleh ahli akademik dan sekelian pakar pun. Kalau ada buktikan!Tidak kah kita melihat satu penganiayaan yang berlaku. (sila rujuk sekali lagi hasil kajian dalam buku MENGAPA KAMI BANTAH & BERITA HARIAN:Laporan SALBIAH ANI).




Kata Zana

Bagi saya tugas pensyarah bukan sahaja menterjemahkan buku.. tapi yang paling utama menyebarkan ilmu dan juga menulis buku (berbeza tu)..sama ada dalam BM atau BI..
Jika tangungjawab diletakan pada pensyarah sahaja.. Cuba kita lihat berapa orang pensyarah sains dan teknologi,kejuruteraan, perubatan di MAlaysia.. sampai sejuta orang? di UiTM , saya kira purata Sains & Tek lebih kurang 300, eng 200, medic mungkin dalam 70shj, Jadi UITM lebih kurang tak sampai seribu pensyarah.. kita ambil everage 1000, plus UKM, UTM, USM,UPM, UIA (smua in eng), lain lain IPTA yang baru naik.. katakanlah 1000 (terjemah buku ker?).. Jumlah tak sampai pun 10 ribu pensyarah Sc and tech di malaysia. Itu belum tolak yang tak ambil bhgn untuk terjemah buku... Ada berjuta buku dipasaran.. belum kira yang tahun2 lepas. 10-20 tahun lepas (asas sc and Math, penting tu), jadi bolehkah penterjemahan berlaku sepantas pengeluaran buku-buku terkini dipasaran..




Jawab Peja

Ayat pertama saya kira sudah timbul kesedaran tugas sebagai ahli akademi, tapi masuk ayat kedua (bermula dengan tapi) sudah jadi terbalik. Kembali kepada tahap keliru sebagai seorang pensyarah. (maaf). Apakah makna menyebarkan ilmu. Adakah menyebar bermaksud dengan hanya mengajar. Apakah menulis buku akademik/buku teks/buku rujukan adalah bidang yang berlainan dengan kerjaya sebagai pensyarah. Kalau ya, anda diminta menyemak semula takrifan ahli akademik.


Di mana agaknya kedudukan kita kini kalau tiada peninggalan tulisan berupa buku untuk dirujuk dalam kehidupan seorang pelajar dan golongan pencinta ilmu. Juga hendaklah kita ingat dengan insaf dan rasa tanggungjawab, tamadun ilmu dan proses kemajuan tidak dapat lari daripada proses membaca dan menulis. Bahkan ayat pertama Al-Quran sendiri pun dimulakan dengan suruhan Tuhan kepada Nabi dan umatnya agar membaca (Iqra’). Kepentingan menulis/merekod/mendokumentasi juga dicatatkan dalam Al-Quran dalam surah Al-Qalam (Pena). Bagaimana pula sikap kita terhadap kesedaran beragama dan menghayati ajaran Islam sekiranya proses membaca dan menulis pun dipersoalkan. Jadi sekali lagi tolong jawab dengan fakta dan hujah yang bernas, jangan terlalu terikut-ikut dengan emosi keterlaluan dan hanya nampak yang di permukaan (superficial).


Tentang proses penterjemahan juga perlu difahami. Tidak semua orang mampu dan mempunyai motivasi tinggi untuk menterjemah sekiranya tidak faham PROSES/ FENOMENA SAINS YANG DI SAMPAIKAN DALAM BUKU-BUKU RUJUKAN (BI misalnya).( Fenomena Sains dan Teknologi lebih mudah difahami dalam bahasa ibunda). Selain itu, motivasi boleh diwujudkan dengan galakan dalam proses menterjemah. Ini adalah tugas kerajaan yang insaf tentang isu ini dengan memberi insentif atau dimasukkan dalam key performance index (KPI) untuk kenaikan pangkat dan sebagainya. Barulah ia akan menjadi satu budaya dan tidak mustahil boleh mengembalikan zaman kegemilangan tamadun Islam pada suatu masa dahulu. (Pusat terjemahan baitul-makmur di zaman khalifah al-makmum yang giat menterjemahkan sains dan teknologi dari Greek dan Yunani). Atau pun pusat penterjemahan Toledo, di Andalusia, Sepanyol . Paling kurang pun, jadilah macam Korea, Jepun, Peranchis dan China yang berterusan menghasilkan karya terjemahan.


Dan kita kena ingat, penterjemahan adalah usaha awal. Setelah kita dilengkapi dengan karya-karya terjemahan dan memenuhi pasaran, maka disitulah timbul untuk berkarya dengan karya tulen setelah menguasai sains dan teknologi dan ilmu bahasa itu sendiri.

Satu perkara lagi ialah penghinaan Tun M terhadap kerjaya penterjemah. (antaranya ayatnya ialah siapa yang sanggup ? dan tidak seorang pun yang sanggup menjadi penterjemah seumur hidup?), kemudian ayat ini diulang-ulang pula oleh golongan yang kurang berfikir, layaknya seperti burung kakak tua sahaja. Bercakap tanpa memahami apa yang dituturkan.

Kalau tidak dengan karya terjemahan bagaimana kita boleh faham sains dan matematik (semenjak dari sekolah rendah). Perkataan sains dan matematik (yang bukan berasal dari bahasa inggeris pun) ini pun sudah mengalami evolusi ribuan tahun dan kita sendiri mengenali istilah ini sejak di peringkat sekolah rendah. Bila akal dan pendidikan kita sudah mula maju, mulalah kita membaca karya-karya berbahasa inggeris. Tapi masih juga merujuk kamus berbahasa melayu untuk memahaminya dan bertanya guru atau pensyarah yang sememangnya kuat jatidiri mereka tentang bahasa. Setelah faham fenomena/proses sains tersebut dengan PENJELASAN DALAM BAHASA MELAYU, berani pula kita melupakan hakikat bahawa, dengan bahasa melayu inilah kita membesar, bergurau, menulis, melapor,membentang dan membaca. Maka timbullah perumpamaan Kaduk Naik Junjung.

Maka wajarkah menghina dengan mengatakan siapa yang hendak menterjemah seumur hidup? Hina dan mulia sesuatu pekerjaan bukanlah disebabkan kerjaya itu sendiri, tetapi perangai si pembuat kerja!

Selain itu, bagaimana untuk kita memahami Al-Quran kalau tidak terjemahan dan tafsirannya dalam bahasa melayu. (Ini cerita lain).


Berbalik kepada persoalan Zana. Kalau kita membandingkan jumlah pensyarah dan jumlah buku-buku rujukan BI di seluruh dunia memanglah kita jauh ketinggalan. Janganlah terlalu cepat membuat kenyataan tanpa dalil yang munasabah. Rujuklah buku MENGAPA KAMI BANTAH dan baca kajian yang dibuat dan apakah tugas sebenar sebagai ahli akademik.




Tulis Zana

Kita lihat situasi sebenar, sebelum jadi pensyarah..seandainya pengajaran dan pembelajar dilakukan dalam bahasa melayu, buku rujukan juga hanya dlm bahasa melayu. bagaimana pensyarah itu hendak menguasai teknologi asing dan kemudian sebarkan ke dalam bahasa ibunda. Pergi over sea? Terpaksa belajar semula sains dalam english? Berpatah balik ke beberapa tahun sebelumnya yang mana sudah sepatutnya berlaku? Realitinya process pembelajaran ini mengambil masa yang lama.. takkan lah diperingkat BSc atau Master baru nak belajar term sains in eng.. nak buka kamus..Bagaimana pula dengan ilmunya..bila nak dapat kalu baru mula nak buka kamus.. Ini merupakan faktor utama mengapa teknologi di MAlaysia berkembang dengan perlahan.



Jawab Peja

Ini sudah dilakukan sejak sekian lama dan mengguna pakai dasar yang sedia ada. Kemajuan yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil kejayaan kita mengutamakan Bahasa Kebangsaan baik dalam sains, teknologi, pengajian tinggi. Hampir kesemua pensyarah sains, kejuruteraan dan komputer yang mengajar di IPT-IPT tempatan melalui proses pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa melayu di peringkat rendah, menengah dan universiti. Kemudian menyambung pengajian peringkat PhD di negara-negara asing yang kononnya kesemuanya berbahasa inggeris. (Padahal ramai juga pelajar post graduate ke Jepun, German, Perancis). Inilah masalahnya kalau fikiran kita hanya nampak UK dan US dan sebahagian besar negara berbahasa inggeris. (Majoriti katanya).

Kemudian mereka ini balik dengan penuh semangat untuk menyumbang kepada anak bangsa melalui ilmu yang diperolehinya dari negara maju tersebut untuk disesuaikan dengan suasana, kebudayaan dan bahasa ibunda.

Cepat atau lambat proses kemajuan itu adalah subjektif dan relatif, bukanlah dengan mengorbankan Bahasa Ibunda dalam sains dan teknologi. Dan tidak ada negara maju lain yang waras untuk menukarkan sistem pendidikan sains dan teknologi dalam bahasa asing kecuali Singapura, yang juga mengalami krisis identiti yang teruk (Sila rujuk BUKU MENGAPA KAMI BANTAH)

Namun sebaliknya pihak pemerintah, enggan mendengar nasihat orang yang lebih berpengetahuan, cendekiawan dan ilmuan yang menyatakan (berdasarkan pengalaman dan pengetahuan mereka) bahawa:

( Petikan dari Kertas kerja Prof Dr Yusof Hj Othman yang berjudul ’BAHASA MELAYU BAHASA ILMU, yang dibentangkan dalam Ceramah Perdana II, PELITA BAHASA pada 2 November 1999 di DBP )

Perihal dan hakikat bahasa

* bahasa jiwa bangsa

* bahasa membina budaya bangsa

* bahasa membina kaedah berfikir bangsa

* bahasa membina citra dan jatidiri bangsa dan negara

* bahasa bukan sekadar alat komunkikasi, tetapi dalam bahasa ada harga diri

* tiada satu bangsapun boleh bangun dengan citra bangsa lain

* tiada satu bangsapun yang boleh bangun dengan acuan bangsa lain

* tiada satu bangsapun yan boleh bangun dalam budaya bangsa lain

* tiada satu bangsapun boleh bangun dengan perspektif bangsa lain

* tiada satu bangsapun boleh bangun dengan cara berfikir bangsa lain

* nilai budaya terdapat dalam berbahasa

Maka Ingatlah;

* sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memajukan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk memundurkannya

* sekiranya kita tidak merancang dan berusaha membangunkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk merobohkannya

* sekiranya kita tidak merancang dan berusaha mendaulatkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk meminggirkannya

* sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memartabatkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk menghinanya

* sekiranya kita tidak merancang dan berusaha menggunakan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk menguburkannya.


Jadi di manakah kedudukan kita yang berbangsa Melayu dalam mentafsirkan kata-kata ilmuan di atas. Kalau kita mahu bantah,kemukakan hujah yang boleh melawan hujah di atas. Kalau kita tidak sanggup, hormatilah pendapat ahli akademik tulen ini. Bukanlah dengan menghujah tanpa waras.



Tulis Zana

Terus terang saya katakan.. hampir 98% ilmu saya didada yang tak seberapa ni saya dapat dari buku BI. Saya tak tahu la ex student Mat Sc lain.. Mungkin baca buku BM jer kot. Bukan beerti saya tak suka baca buku BM, saya tak nafikan buku Sc Bhn jld I &II banyak membantu,tapi tak cukup dan tidak boleh berharap buku BM shja. Dan terus terang saya katakan begitu sukar membaca buku dlm BI di permulaan Degree dulu.. Merangkak-rangkak..Jadi terpaksa membuka kamus setiap kali membuat rujukan. dan saya rasa proses mengaut ilmu menjadi sangat perlahan disebabkan tiada asas Sains & mat dalam BI. Dan kadang-kadang naik bosan, Satu buku eng pun susah nak habis.. Tidak nampakkah masalah yang melanda institusi pengajian kita? Ataupun itu hanya masalah saya sahaja?Kalau sistem membuka kamus untuk belajar sains & matematik dlm Bi dimulakan seawal sekolah rendah dan menegah.. saya tidak nampak masalah ini akan berlaku di peringkat yang lebih tinggi. DAn yang paling penting Sains dan teknologi dapat dikuasai dengan mudah..



Jawab Peja

Ini kenyataan peribadi. Sekiranya kita mempunyai kelemahan peribadi untuk menguasai bahasa inggeris, kita tidak boleh menjadikan alasan tersebut untuk menyokong PPSMI yang impaknya lebih mundur ke belakang ( SEKALI LAGI SILA MERUJUK FAKTA) .Kenyataan peribadi juga tidak boleh dijadikan hujah ampuh untuk melawan kajian yang dijalankan oleh pakar. (sudah banyak kali diulang, tapi tiada yang ingin mengambil peduli)

Proses belajar mendapatkan ilmu bukanlah suatu yang mudah. Ya, kamus adalah rujukan utama. Di China, Jepun, Korea juga mereka masih mempertingkatkan pengajian bahasa inggeris. Tapi bukan dengan pelaksanaan PPSMI di negara mereka. Jadi bahasa inggeris lah yang perlu dipertingkat. Pelaksanaan BI untuk Sains dan Matematik tidak mempercepat/melajukan kita menjadi negara maju. Ini berkait rapat dengan soal BUDAYA ILMU, SIKAP, JATIDIRI, MOTIVASI, KESEDARAN, PENGETAHUAN AM kita dan apa-apa sahaja yang sepertinya. Bukan isu pelaksanaan PPSMI itu sendiri.

Untuk mengetahui mengapa kita dan negara-negara membangun terutamanya negara islam masih ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi, memerlukan wacana dan entri yang lain. DI sini saya hanya ingin menjawab tulisan Zana satu persatu.



Tulis Zana

Jadi para penyokong PPSMI harus sedar bahawa PPSMI akan meningkatkan kemajuan bukan sebaliknya. Saya juga menbantah bila penyokong PPSMI berpendapat bahawa BM akan terhapus bila PPSMI dilaksanakan.. Ini kerana banyak matapelajaran lain diajar dalam bahasa Malaysia, waktu BM itu sendiri lebih banyak dalan jadual P&P di sekolah-sekolah, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, malah moral juga di ajar dalam bahasa malaysia. Jadi tidak timbul soal BM akan terhapus. Komunikasi kita seharian juga tetap dalam bahasa malaysia.. Cuma bila berkaitan kajian sainstifik, teknologi dan matematik di lakukan dalam BI..Jadi fikir-fikirkanlah semua..



Jawab Peja

Perlukah dijawab kenyataan peribadi beremosi dan gopoh gapah ini sekali lagi. Gopoh kerana ayat bahasa melayunya tidak betul, sepatutnya penyokong PPSMI diganti dengan penentang PPSMI. Sila lah Bertenang! Ini isu penting yang perlu ditangani dengan teliti, dengan pembacaan, kesedaran dan insaf tentang tanggungjawab sebagai profesional muda seperti kita. Tidak ada masalah untuk menyokong, tapi sokonglah dengan fakta. Ambil lah pendapat ahli-ahli akademi dan tokoh-tokoh yang menentang isu ini. Menentang menggunakan perasaan dan fikiran kita sendiri mungkin tidak tepat. Kita sendiri bukan lah semuanya betul dan mempunyai sentiasa ada kelemahan. Untuk mengatasi kelemahan tersebut, merujuklah dengan yang arif tentang isu tersebut.



p/s Zana

Sebelum kita menyalahkan, merendahkan dan memperlekehkan orang lain,
cuba lihat diri sendiri sama ada kita sudah berbuat sesuatu untuk
menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara atau tidak!!!



p/s Peja

Seperti yang saya jawab telah jawab di atas tadi, ukurlah baju di badan sendiri. Menyumbanglah kepada bangsa dan negara mengikut kemampuan dan keupayaan tanpa berhenti berusaha untuk memajukan diri. Apabila saya belajar, bekerja, menulis atau mencatat, saya cuba beriltizam dan bertekad untuk merubah nasib diri, keluarga, sahabat-sahabat, bangsa dan tanah air menggunakan citra dan jatidiri yang wujud dalam kemuliaan bangsa saya iaitu Bahasa Melayu yang indah. Saya tidak memandang rendah dan mengeji Bahasa Inggeris, malah bahasa inggeris jugalah yang menjadi rujukan dan bahan bacaan yang baik selain buku-buku dan tulisan berbahasa melayu yang telah muncul selama 30 tahun saya hidup di dunia ini. Dengan bahasa inggeris jugalah saya mempunyai kenalan di kalangan bangsa asing, berkomunikasi (walaupun belum fasih sepenuhnya), kadang-kadang berjenaka dengan mereka tanpa melupakan jatidiri sebagai Anak Melayu Malaysia yang berasal dari kampung terpencil di Terengganu.


Menyumbanglah dengan kemahiran, kebolehan dan pengetahuan yang kita ada. Saya sedikit sebanyak menulis rencana sains dan teknologi (yang bukan bersifat akademi) di dalam majalah-majalah sains dan teknologi yang ada di Malaysia seperti Dewan Kosmik terbitan DBP dan Estidotmy terbitan Utusan- Akademi Sains Malaysia. Sekurang-kurangnya 2 majalah/ akhbar ini di langgan oleh beberapa buah sekolah di Negeri tempat kelahiran saya. Tidak lah banyak sumbangan tersebut, dan masih jauh lagi perjalanan kita. Namun inilah tekad saya dan tekad yang perlu ada di kalangan kita yang sedar akan pentingnya Sains, Teknologi, Bahasa dan Budaya Bangsa kita. Dengan inilah kita akan cuba memajukan negara yang terletak di bahu kita menggantikan generasi lama yang semakin hari semakin meninggalkan kita.

Terjawab kah persoalan?



p/s/s: Maafkan saya sekiranya ada kenyataan-kenyataan yang menyebabkan anda berkecil hati. Kerana kadang-kadang kita perlu juga disedarkan dari tidur yang panjang.


Sekian terima kasih



Marilah kita menghidupkan Komuniti Sains di Malaysia dengan tekad untuk memandaikan bangsa Mulakan dengan langkah pertama! Insyaallah kejayaan akan menyusul!


~peja~


2 ulasan:

ernie berkata...

Salam,

Syabas peja..good explanation..I adore your no of publications..saya selalu baca...cuma tak tahu pulak mohd faizal tu hang ghopanya...huhuhu..keep up the good work bro..

Mohd Faizal berkata...

SAlam...saja-saja gatal tangan..:-)
tq