Sokong PPSMI Dengan Beberapa Cadangan.
Kiriman pada Tuesday, February 24 @ 19:47:27 EST oleh obey_one
amirhamzah64 menulis "Kementerian Pelajaran perlu mengambil tindakan cepat dan betul berhubung perkara Pengajaran Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dasar PPSMI ini telah pun dilaksanakan sejak 2003 dan murid-murid tahun 6 yang baru lepas mengambil UPSR 2008 adalah keluaran sulung daripada dasar ini. Murid-murid Tahun 6 ini adalah asas rujukan kepada kejayaan atau kegagalan dasar ini.
Laporan keputusan UPSR 2008 perlu segera dikeluarkan. Tun Mahathir tidak memerlukan masa yang panjang untuk menjadikan PPSMI ini satu realiti. Malah perlaksanaannya bermula dari Tahun 1, Tingkatan 1, Tingkatan 3 dan Tingkatan 6 Bawah pada tahun 2003 sedikit sebanyak telah memberi lembaran baru kepada pelajar dan mereka telah diberi peluang untuk belajar dan dimudahkan dengan menjawab secara dwibahasa ketika memberi jawapan kepada soalan sama ada dalam peperiksaan berasaskan sekolah atau dalam peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM atau STPM.
Tempoh percubaan selama 6 tahun ini mendapat gambaran pro dan kontra mengenai isu ini sehingga Kementerian Pelajaran agak sukar membuat keputusan dengan melihat dari pelbagai aspek. Disebabkan Menteri Pelajaran itu adalah orang politik maka pertimbangan politik juga perlu diambil kira. Dalam keadaan politik yang tidak menentu, PPSMI kemungkinan akan menjadi isu yang dipolitikkan dalam pilihanraya ke 13dan kemungkinan isu PPSMI akan menjadi seperti isu 'barang naik' dan isu 'harga minyak' dalam pilihanraya 12 yang lalu yang menyebabkan BN hilang 2/3 kerusi Parlimen dan 5 Negeri kepada Pakatan Rakyat.
Peliknya semasa Tun Mahathir hendak melaksanakan Dasar PPSMI 2003 yang lalu tidak ada pula pula suara-suara bantahan secara aggerasif, demontrasi atau penghantaran memorandom. Kalau ada pun bantahan 'ala kadar' daripada individu-individu atau beberapa pertubuhan. Mengapa selepas 6 tahun berlalu dengan wang telah dibelanjakan berbillion ringgit, kita hendak berpatah balik ke belakang. Kita perlu teruskan dasar ini tetapi saya ingin memberi beberapa cadangan bagi memurnikan lagi Dasar PPSMI ini.
1. Elaun 5% kepada guru-guru Sains Dan Matematik ditarik balik. Tujuannya adalah untuk digunakan oleh Kementerian Pelajaran bagi memberi kursus-kursus intensif Bahasa Inggeris kepada guru-guru sehingga guru-guru ini mahir berbahasa Inggeris. Kursus yang diberikan adalah menyamai seperti kursus-kursus Bahasa Inggeris bagi pelajar-pelajar yang hendak pergi belajar ke Seberang Laut. Kursus E-tem dan 'Buddy Support System' kurang berkesan dan tidak praktikal.Guru-guru yang telah mahir berbahasa Inggeris diteruskan dengan pemberian elaun 5% daripada gaji mereka.
2. Perbanyakkan bahan-bahan pengajaran sama ada berbentuk software atau hardware bagi membantu guru-guru mengajar. LCD dan Komputer riba yang dibekalkan ke sekolah-sekolah perlu digunakan sepenuhnya oleh guru-guru Sains dan Matematik sebagai alat bantuan mengajar yang berkesan.
3. Pelajar-pelajar yang lemah mengikut penilaian 'school based' perlu diberi pemulihan atau tiusyen percuma agar mereka tidak terus ketinggalan menguasai kemahiran-kemahiran dalam Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.
4. Kajian dari semasa ke semasa atau kajian setiap tahun perlu dilakukan bagi menambah baik dasar ini yang melibatkan guru, pelajar , kaedah-kaedah pengajaran dan alat-alat bantuan mengajar.
5. Kaedah Pengajaran Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan. Guru-guru Bahasa Inggeris perlu meningkatkan prestasi pelajar supaya penguasaan Bahasa Inggeris dapat membantu mereka meningkatkan prestasi dalam Bahasa Inggeris. Makmal-makmal Bahasa perlu digunakan sepenuhnya di sekolah. Makmal-makmal komputer jangan dijadikan 'gajah putih' tersergam indah tetapi tidak digunakan secara maksima.
6. Kerajaan perlu mengeluarkan peruntukan tambahan bagi membantu pelajar-pelajar luar bandar khususnya orang Melayu. Peruntukan kelas-kelas 'tiusyen kampung' percuma untuk matapelajaran Bahasa Inggeris supaya pelajar dapat menguasai dan bertutur Bahasa Inggeris dengan baik.
7. Walauapa pun ianya bergantung juga kepada badan-badan pelaksana seperti para pendidik, sokongan daripada ibu bapa dan komitmen para pelajar sendiri. Sekarang ini bukan lagi masa percubaan, 6 tahun sudah memadai, 10 tahun akan datang kita akan menuai hasilnya. Maksudnya 10 tahun lagi kita akan cukup tenaga mahir daripada pelbagai bidang untuk mengisi kepakaran di Cyberjaya dan koridor-koridor ekonomi seluruh negara.
Pelajar-pelajar yang lemah, diajar dalam bahasa apa pun ianya akan lemah. Pelajar yang tidak mahu belajar, diajar dalam bahasa apa pun dia akan 'burn out' untuk belajar. Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih. Orang Berjaya mencari Jalan, Orang Gagal mencari Alasan.
Amir Hamzah
Batu Pahat,
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com "
########################################################
Komen ~peja~
Idea amir hamzah ni, kalau ditengok sebelum ayat yang dimerahkan ini, seakan-akan ada kebenaran bagi mereka yang masih keliru tentang isu PPSMI. Tetapi dia silap dan tidak pernah baca pun sejarah penentangan dasar PPSMI.Terutamanya tentang mengapa sekarang baru membantah. Selagi belum membaca buku MENGAPA KAMI BANTAH karya PAKAR ternama (berbanding saudara amir hamzah), lebih baik kita syorkan terlebih dahulu baca dan fahamkan buku tersebut. Barulah betul-betul calon ilmuan.
Dan tulisan yang aku merahkan ini ternyata satu kenyataan MENGHINA yang tidak patut diucapkan oleh seorang muslim. berbangsa melayu.
Soalan saya, apakah tugas kita sesama muslim dan sesama bangsa kalau ada orang lain yang lemah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan