Isnin, 30 Mac 2009

Untuk Mereka yang Sudah Lupa

Kitab Sains Bahan Jilid 1 (dan jilid II ) paling berharga suatu masa dulu..Ya, menggunakan bahasa IBUNDA dan bermutu tinggi :-). Buku ini bukanlah karya 100% tulen dan asli dari pengarangnya, tetapi karya terjemahan yang sangat-sangat membantu pelajar sains bahan yang ditulis dengan baik oleh Prof Dr Mustafa Hj Abdullah dan rakan-rakan termasuk Prof Shahrim. Ramai (mungkin mencecah ribuan ) pelajar Sains Bahan UKM yang telah lulus dengan cemerlang hasil merujuk kepada buku Sains dan Teknologi Berbahasa Melayu ini dan menjawat pelbagai jawatan penting seperti pensyarah, penyelidik dan saintis, tapi masih juga menyokong penggunaan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).



Satu soalan, sudahkah para penyokong PPSMI membaca buku MENGAPA KAMI BANTAH? .Buku ini seharusnya dibaca oleh semua mereka yang terlibat dalam aktiviti sains dan teknologi termasuk guru, pensyarah, saintis, penyelidik, pembantu penyelidik dan juga wartawan. Baca dan fahami apa yang ditulis oleh Prof Dr Shaharir Mohamad Zain!

Kepada yang belum mengenali siapa Prof Shaharir, elok lah juga berkenal-kenalan dengan tokoh matematik-fizik tersohor ini di laman blog sebagai permulaan. Tak kenal maka tak cinta :-)

Selain buku S.M Sze, buku ini juga sangat penting untuk memahami teknologi semikonduktor. Rasanya kalah kot buku S.M Sze dalam konteks Malaysia dalam bidang semikonduktor.
p/s: Prof Burhanuddin Yeop Majlis ni penyelia tesis MSc (part time) aku yang separuh jalan dan juga big boss aku kat IMEN

Jadi sesiapa yang mengatakan siapa yang mahu menjadi penterjemah buku sepanjang hayat (mengulangi ayat yang ditulis di blog Tun Mahathir) ia satu penghinaan kepada pensyarah-penyarah kita yang giat menulis dan menterjemah buku-buku teks ke dalam bahasa melayu suatu masa dahulu untuk memandaikan kita dalam sains dan teknologi sehingga berjawatan dan 'berduit' seperti sekarang.

Memang! kerja menterjemah tanpa ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang sia-sia, tetapi bila sudah bergelar pensyarah atau pakar bidang, sekurang-kurangnya itulah yang perlu dilakukan kalau pun tidak menulis buku sendiri. Kalau tidak apa ertinya bergelar Dr atau Profesor! Maaf, ini realiti yang berlaku sekarang di negara kita. Ya, menulis jurnal juga satu pekerjaan yang bukan ringan, tetapi buku-buku dan penyebaran ilmu menjadi ukuran kepada seorang pensyarah. Nah, ini kerja yang sangat mulia. Janganlah terus percaya apa yang diucapkan oleh Tun Mahathir seorang diri, kerana tidak semua yang dikatakan oleh Tun itu betul. Manusia semuanya melakukan kesilapan. Maaf sekali lagi, ini bukan kenyataan politik!

Prof Razak Daud ( Metalurgi, Kakisan & Kawalan Kakisan ) Penyelia tesis sarjana muda aku dulu

Prof Dr Sarani Zakaria ( mengajar Subjek Teknologi Kertas I & II) Agak-agak, kalau Prof Sarani ajar tajuk Pulp & Paper Technology, boleh maju ke orang Malaysia dalam proses dan teknologi penghasilan kertas 10,20, 30 ..n tahun akan datang ??


Alma Mater kebanggaan ( walaupun x scorer :-) )

Walaupun mengajar dalam Bahasa Ibunda, UKM suatu masa dahulu masih lagi tergolong antara universiti yang dikenali di dunia walaupun ranking belum mencapai top 50. Namun sekarang, ranking 2007-2008 setelah menggunakan dwi-bahasa dan pensyarah digalakkan mengajar dalam BI, ranking menjunam ke tangga 238 dalam THEES.

Maklumat : Pada tahun 2006, UKM terpilih sebagai universiti penyelidikan dan tahun 2006 juga UKM berada dalam kelompok 100 (ke 98) terbaik dunia dalam bidang sains dan teknologi.

Ok kita lupakan dahulu soal rangking..

Kita berhenti di sini dahulu, nanti untuk 'entry' akan datang, aku ceritakan pula universiti-universiti di Kanada dan bagaimana patriotiknya orang Kanada terutamanya di province Quebec dengan bahasa ibunda dan buku-buku rujukan mereka.

Aku tinggalkan dahulu satu 'statement' untuk kita renungkan bersama..

'Tanpa ada rasa patriotik terhadap bahasa, bangsa dan kebangsaan, mustahil kemajuan akan dapat dicapai dan sejarah telah membuktikan"

dan silalah berbahas ya rakan-rakan..

~peja~

Sabtu, 28 Mac 2009

Seminar Pemikiran Fizik

Kepada sesiapa yang berminat. Boleh dipanjangkan hebahan ini kepada kumpulan-kumpulan fizik yang lain. Terima kasih!


18 April 2009
8.30 pagi - 5.00 petang
Bilik Mesyuarat FST, Dewan Anuar Mahmud
Fakulti Sains & Teknologi
UKM Bangi

Penyertaan Percuma!

~peja~

BERWASPASADALAH SELALU


ADA BERANI?
ambo

Jumaat, 27 Mac 2009

Sampai bila kita nak jadi USER... WE NEED CHANGE

CONTOH TERDEKAT

Bible dalam Bahasa Malaysia

Kitab Bible ni sama seperti yg ditunjukkan oleh Ustaz Zulkifli Nordin, Peguam Bahagian Syariah yg beri ceramah (ttg isu murtad) di surau RHB-Bangi baru-baru ini.

Bible dalam Bahasa Malaysia @ isu hangat

tidak malukah bangsa ASING dapat menguasai bahasa kita , malah mengunakannya sebagai senjata utk memesongkan akidah kita. Salahkan kita mempelajari Bahasa Mereka semata-mata utk menjadi lebih baik daripada mereka.

Khamis, 26 Mac 2009

UMNO sedang bersidang..Para Perwakilan & Penyokong PPSMI, Sila Baca Rencana Terbaru di bawah

SUMBER : BERITA HARIAN

Oleh Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my

Kajian Pembina dapati pelajar luar bandar, pulau, Orang Asli, sekolah rendah dan menengah Felda terjejas teruk

PERWAKILAN Perhimpunan Agung Umno dan Kementerian Pelajaran diminta memberi perhatian serius terhadap dapatan Kajian Tahap Kompetensi Guru Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris (PPSMI) Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid.

Ini kerana dapatan kajian Pemuafakatan Badan IImiah Nasional (Pembina) yang membabitkan 160 sekolah, iaitu 70 Sekolah Menengah (pelajar Tingkatan 4 Sains dan Sastera) dan 90 Sekolah Rendah (murid Darjah 5) di seluruh negara, menunjukkan PPSMI gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

Pengarah Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raef Hussin, berkata kajian Pembina bertujuan menilai secara terperinci keberkesanan PPSMI di seluruh negara dan kerana itu pendekatan saintifik dan analitik digunakan untuk mengenalpasti tahap kompetensi guru, penguasaan pembelajaran murid serta minat mereka dalam Sains dan Matematik.

“Pada dasarnya pembina menjalankan kajian ini tanpa sebarang prejudis, sebaliknya dengan harapan kajian ini dapat memberi input kepada Kementerian Pelajaran dalam menentukan dasar, matlamat, hala tuju PPSMI pada landasan yang betul, tepat lagi relevan,” katanya dalam kiriman e-mel kepada Sastera, Khamis, lalu.

Kajian Pembina menunjukkan peratusan pencapaian pelajar sekolah rendah yang gagal lebih tinggi (29.86 - 50.56 %) berbanding bilangan cemerlang (10.12 - 31.00 %) dan pelajar sekolah menengah aliran Sastera, trend yang sama berlaku dengan peratusan jumlah pelajar gagal lebih tinggi (49.44 - 85.08 %) berbanding cemerlang (1.11% - 20.03 %) dan pelajar sekolah menengah aliran sains, peratusan gagal (24.59 - 69.96 %) lebih tinggi daripada cemerlang (0.78 - 28.06 %).

Abdul Raef berkata, kesan berganda hasil daripada sistem PPSMI mengakibatkan bilangan pelajar berkualiti tinggi terhad atau dalam perkataan lain bilangan mereka yang berpencapaian rendah mendominasi arus perdana pendidikan peringkat menengah dan akan memberi kesan kepada pendidikan peringkat universiti.

“Adalah diharapkan Kementerian Pelajaran bertindak segera memberhentikan PPSMI untuk memastikan tragedi kepupusan intelektual tidak berterusan. Dapatan kajian sudah membuktikan ada kemunduran dalam melahirkan modal insan cemerlang. Saya khuatir lebih banyak lagi masalah perlu ditangani dan menyebabkan rasa tidak puas hati kalangan masyarakat dan guru,” ujarnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berharap rumusan kajian yang mendapati PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar khususnya Melayu dan Bumiputera di luar bandar dipandang serius memandangkan ia akan menjejaskan usaha kerajaan meramaikan kelompok itu dalam aliran Sains bagi mengikuti kursus kritikal di universiti.

“Dapatan kajian PPSMI itu penting bagi pemimpin Umno dan kerajaan membuat keputusan berdasarkan fakta dan maklumat tanpa takut dan memihak kepada mana juga pihak berkepentingan demi kepentingan semua pihak dalam jangka panjang,” katanya merangkap Pengerusi Pembina ketika berucap pada Pertemuan Ketiga Laporan Pembentangan Pembina di Hotel Marriot, Putrajaya, pada 3 Julai 2008

Beliau berkata, walaupun Kementerian Pelajaran menggunakan kaedah Rujukan Norma dalam menentukan keputusan, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), didapati masih ramai murid yang gagal mencapai prestasi yang baik.

Justeru, semua pihak memandang serius nasib sebilangan besar pelajar yang lemah penguasaan Bahasa Inggeris kerana mereka ialah pelajar Melayu dan Bumiputera di luar bandar, pedalaman, pulau, sekolah Orang Asli dan Sekolah Rendah Felda serta Sekolah Menengah Felda.

“Golongan inilah yang patut dibela, bukannya murid yang cerdik dan pandai yang hanya mewakili antara 20 hingga 25 peratus dan datang dari sekolah elit di bandar dan sedia terbela, tanpa menafikan mereka mesti berusaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka menguasai globalisasi dunia,” tegasnya.

Abdul Ghani yakin bahawa langkah memperkasakan Bahasa Inggeris perlu dilaksanakan melalui mata pelajaran terbabit, iaitu melalui kurikulum, kaedah dan pedagogi yang lebih berkesan dan teratur serta tidak yakin pendekatan PPSMI boleh meningkatkan kemahiran dan kemampuan berbahasa Inggeris pelajar.

“Perlu diingatkan bahawa penggunaan Bahasa Inggeris tidak boleh dikaitkan dengan peningkatan keputusan yang dicapai oleh pelajar dalam mata pelajaran Sains, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam UPSR, PMR, SPM atau STPM,” katanya.

Beliau tetap lebih yakin Bahasa Melayu paling berkesan untuk digunakan dalam mengajar Sains dan Matematik di samping bahasa Melayu mesti dipraktikkan serta dimartabatkan sebagai bahasa pengantar tunggal sistem pendidikan negara kerana bahasa ibunda adalah cara terbaik bagi sesebuah bangsa mendalami ilmu pengetahuan.

Ketua Penyelidik Pembina, Prof Madya Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah, memperakukan semua data yang dipungut dalam penyelidikan yang berteraskan penilaian, pencerapan adalah data primer dan sahih serta dianalisis mahupun diterjemah secara sistematik lagi saintifik, tanpa prasangka yang boleh mendorong kepada kepentingan mana pihak juga.

“Laporan ini benar dalam konteks penyelidikan yang diamanahkan dan diharapkan menjadi panduan rujukan Kementerian Pelajaran bagi menentukan prinsip, hala tuju dan pendekatan yang tepat lagi betul bagi melaksanakan tanggungjawab dalam sistem pendidikan negara,” katanya.

Seramai 50 pensyarah dari tujuh universiti, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terbabit dalam kajian ini.

~peja~

Jumaat, 20 Mac 2009

Mari kita menggerakkan minda

Kalau sayang duit RM20 , boleh download kat SINI

Ni forum mengenai PPSMI last yang aku hadir sebelum datang Canada.

Selasa, 17 Mac 2009

Fakta Bahasa dan Kemajuan

Menurut Prof Dr Yusof Othman (1999)

Perihal dan hakikat bahasa ialah:

* bahasa jiwa bangsa

* bahasa membina budaya bangsa

* bahasa membina kaedah berfikir bangsa

* bahasa membina citra dan jatidiri bangsa dan negara

* bahasa bukan sekadar alat komunkikasi, tetapi dalam bahasa ada harga diri

* tiada satu bangsapun boleh bangun dengan citra bangsa lain

* tiada satu bangsapun yang boleh bangun dengan acuan bangsa lain

* tiada satu bangsapun yan boleh bangun dalam budaya bangsa lain

* tiada satu bangsapun boleh bangun dengan perspektif bangsa lain

* tiada satu bangsapun boleh bangun dengan cara berfikir bangsa lain

* nilai budaya terdapat dalam berbahasa

Maka Ingatlah;

* sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memajukan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk memundurkannya

* sekiranya kita tidak merancang dan berusaha membangunkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk merobohkannya

* sekiranya kita tidak merancang dan berusaha mendaulatkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk meminggirkannya

* sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memartabatkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk menghinanya

* sekiranya kita tidak merancang dan berusaha menggunakan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk menguburkannya

Ini dari kertas kerja Profesor Yusof Othman yang dibentangkan pada tahun 1999

(lama dah tokoh-tokoh pendidik, profesor, penyelidik yang kaji isu ni sebelum Tun M buat keputusan sendiri menggunakan PPSMI )


~peja~

Sabtu, 14 Mac 2009

salam

apa 2 pon bro ambo amat sependapat dengan ex pm kite


PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)

| | Comments (311) | TrackBacks (0)
1. Saya berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.

Jumaat, 6 Mac 2009

SEMINAR HALATUJU PPSMI 2009

SEMINAR HALATUJU PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DALAM DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2009

Tarikh : 14 Mac 2009
Waktu : 8.00 pagi – 5.00 petang
Tempat : Auditorium Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Para Pembentang Kertas Kerja;

Datuk Dr Hassan Ahmad
Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI

Prof Dr Abdul Aziz Bari
Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Aantarabangsa

Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan
Institut Peradaban Melayu, Universiti Perguruan Sultan Idris

Prof Dr Shaharir Mohamad Zain
Timbalan Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI

Prof Dr Mat Rofa Ismail
Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia


Untuk pendaftaran, hubungi wakil kami:
Hazwani 0133684906 / rsbgurl@yahoo.com
Razali Bidin 0196442868 / arieff_86@yahoo.com.my
Hakim 0132829225 / hakimin_abdullah@yahoo.com
Azli Maarif 0123378925 / azli_000@yahoo.com

Yuran Penyertaan; Orang Awam (RM30)
Pelajar (RM15)
(Bagi tujuan pembayaran, sila masukkan sejumlah wang di atas nama JARINGAN SISWAZAH MALAYSIA, Akaun Bank Muamalat 12070004901710 atau Akaun Maybank JASA PESMADA 562834500793. Sila beritahu wakil kami melalui mel elektronik atau sistem pesanan ringkas (sms) selepas berbuat demikian)

*Penyertaan hanya terhad untuk 200 orang perserta. Berdasarkan siapa cepat dia dapat!

*Sebarang pertanyaan dan pra-pendaftaran boleh dilakukan dengan menghubungi wakil kami atau tinggalkan komen di ruangan komen bersama nombor telefon atau mel elektronik (emel) untuk dihubungi semula oleh pihak kami.

Dari blog http://www.seminar-ppsmi.blogspot.com/
~peja~