Ahad, 21 September 2008

UNTUK RENUNGAN

Kaunselor Anda: Setiap raya isteri 'makan hati'

Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)bminggu@bharian.com.my

Soalan: Saya sudah berumahtangga 12 tahun, tetapi sepanjang tempoh itu, saya sering memendam perasaan sebaik saja kedatangan Aidilfitri. Saya orang Utara, suami orang Selatan tapi kami tinggal di Kuala Lumpur. Sebelum kahwin saya tidak memikirkan pun soal raya, berjanji balik bergilir dan sebagainya. Saya terima seadanya. Tiga tahun berkahwin, dari raya pertama hingga ketiga, kami sekeluarga akan beraya di kampung suami. Raya keempat biasanya sudah mula bekerja dan kami selalu akan balik ke kampung saya pada hujung Syawal. Saya masih bersabar, tapi kalau sudah 12 tahun kahwin dan keadaan sama berulang, memang saya sudah tidak boleh sabar. Doktor, tolong beri saya pandangan.

Jawapan :
Seorang wanita apabila diijabkabulkan maka jatuhlah tarafnya daripada seorang anak kepada seorang isteri milik seorang suami. Oleh itu syurganya berpindah dari telapak kaki ibu kepada tapak kaki suami.
Sebab itu Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan, “jika seorang manusia boleh menyembah manusia maka aku mahu isteri menyembah suaminya” ungkapan ini disokong pula dengan pesanan kepada isteri bahawa “mentaati Allah dan Rasul serta suami sudah melayakkan isteri memilih masuk ke syurga dari pintu mana pun.” Ini bermakna suami adalah tuan kepada seorang isteri, selagi suami itu mentaati perintah dan meninggalkan larangan agama. Peringatan agama lagi, dilarang wanita keluar rumah tanpa izin suami. Malah, dikisahkan seorang isteri yang ditinggalkan suami kerana pergi berperang dan dia dipesan jangan turun ke rumah ibu bapanya di tingkat bawah tanpa kebenaran suami. Kesudahannya ayah wanita itu meninggal dunia, dia tidak dapat mengunjunginya kerana mentaati perintah suami yang pergi berperang. Ketika dikhabarkan kepada Nabi Muhammad SAW kisah itu maka Nabi mengatakan beruntunglah si ayah berjaya mendidik anak yang mampu mentaati suaminya hingga pada malamnya Nabi bermimpi si ayah dilepaskan daripada seksa kubur hasil didikan dan ketaatan anaknya kepada suami. Melihat pada kisah puan, saya harap puan ikutlah perintah dan hasrat suami. Ingatlah bahawa tindakan kita itu akan menyenangkan hati suami sekali gus membolehkan kita masuk syurga, dan suami dapat menemui ibunya. Ini adalah amalan terbaik buat isteri kerana syurga suami adalah pada ibunya. Mengapa setelah penat beribadah, berpuasa sebulan mendapat mahfirah, rahmat, ampunan dan janji syurga dari Allah, tiba-tiba sambutan Aidilfitri (kembali pada fitrah/ kebersihan dari dosa/seperti bayi yang baru dilahirkan) kita merancang untuk menempah neraka kerana melawan kehendak suami. Pada pandangan saya, suami berusaha mencari reda ibu bapanya kerana mahu jadi anak yang didoakan dan diberi keampunan orang tuanya. Rentetan daripada itu, puan juga dapat limpahan restu doa kesejahteraan daripada ibu mentua. Sebab itu jugalah isteri wajib menjaga ibu mentua daripada ibunya sendiri. Sebab itu dalam agama anak lelaki wajib menjaga ibu bapanya. Anak perempuan hanya sunat saja menjaga ibu bapanya, itupun jika dibenarkan oleh suami. Maka berdasarkan saranan agama maka puan tidak ada pilihan untuk taat dan ikut suami pulang ke rumahnya. Kemudian baliklah ke rumah orang tua puan jika direstui oleh suami dan cukup kemampuan. Jika tidak mampu dan tidak cukup maka wajar berhari raya di mana saja. Dari kecil sehingga berumah tangga, puan sudah berhari raya dengan ibu bapa sendiri, maka ikutlah perintah dan gembirakan suami demi keberkatan dalam kehidupan. Puan, sambutan hari raya di mana saja adalah sama, matlamatnya mensyukuri kejayaan menjalani ibadah puasa.
Tindakan pulang ke kampung sendirian tanpa kebenaran suami dilarang agama. Raya entah ke mana, berdosa pasti dan jika tidak dapat restu daripada suami, dibimbangi berlaku kejadian yang tidak diingini. Jangan disebabkan hendak sambut raya bersama ibu bapa sendiri, hubungan jadi renggang, hati luka dan kita dianggap isteri yang durhaka pada suami serta Tuhan. Jika ini berlaku ibadah puasa sebulan mencuci hati, perasaan dan minda jadi tidak bermakna. Untuk apa sibuk menyambut raya, jika hilang ketaatan pada suami dan Allah. Ingat puan, reda Allah ada dalam reda suami. Murka Allah ada dalam murka suami. Maka buatlah pilihan dengan bijak agar hubungan tidak retak hanya disebabkan isu balik raya. Apa maknanya menyenangkan keluarga sendiri jika diri berdepan dengan keingkaran pada suami. Lebih baik fikir dulu, agar tidak menyesal pada kemudian hari. Jangan tunggu nasi jadi bubur, jangan dah terantuk baru tengadah. Bangunkanlah ciri-ciri isteri yang salih kerana pasti balasannya syurga. Berhari rayalah asalkan berada di samping suami tersayang. Jangan tukarkan bahagia jadi derita hanya kerana keras kepala kita yang tidak berasaskan kehendak agama. Semoga terus “kembali kepada fitrah” memburu bahagia di Syawal mulia. Selamat berhari raya di samping suami dan anak tercinta. Jangan kerana memburu kaca lalu anda abaikan mutiara.
Renung2kan .. selamat beramal ;)
~napi~

Tiada ulasan: