Sabtu, 9 Ogos 2008

Buat Renungan Semua...

Didiklah isterimu.......


Wahai para suami...

Terkadangkala tergambar di benak fikiran sesetengah daripada kita bahawa
kita telah membuat pilihan yang salah ketika memilih isteri. Sehingga ianya
sentiasa bermain dibenak fikirannya. Akhirnya, mengubah perasaan terhadap
isterinya sendiri. Seterusnya cinta akan berubah menjadi benci. Kasih sayang
akan berubah menjadi kemarahan. Ketenangan akan berubah menjadi ketegangan.

Suami-suami....

Ingatlah dengan firman Allah yang bermaksud "Dan gaulilah mereka
(isteri-isteri) dengan baik. Maka jika engkau membenci mereka, maka
mudah-mudahan apa yang engkau benci itu adalah satu dan Allah menjadikan
padanya kebaikan yang banyak" (Al Nisa. 19). Sabda Rasulullah s.a.w pula
yang bermaksud "Sesempurna iman seorang mukmin adalah mereka yang baik
akhlaknya, dan yang terbaik (pergaulan) dengan isteri-isteri mereka".Dalam
hadis yang lain pula Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud "Tidak
menyisihkan seorang mukmin, mukminah yang lain, jika ia membenci sesuatu
daripada akhlaknya.(Sedangkan) ia boleh meredai akhlaknya yang lain".

Para suami dan para isteri...

Perlulah kita sedar tiada manusia didunia ini sempurna segala-galanya. Yang
sempurna hanyalah Allah yang bersifat Al Kamal. Tidak sepatutnya kita
sentiasa melihat dan mengira-ngira kekurangan pasangan kita. Sedangkan kita
tidak pernah menghitung kekurangan dan kesalahan yang kita lakukan.

Wahai saudara-saudaraku...

Janganlah kita sekali-kali mengambil peluang daripada kelemahan yang ada
pada isteri kita. Dan janganlah sekali-kali kita mencari jalan untuk
berselisih faham walaupun perkara yang dilakukan oleh isteri kita itu kecil.
Ingatlah firman Allah Taala yang bermaksud "**.maka jika isteri-isteri
berlaku taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan (kesalahan
untuk berselisih faham lagi). Sesungguhnya Allah Maha Tinggi dan Maha
Besar". (Al Nisa. 34).

Sahabat-sahabatku

Satu ketika Saidina Ali r.a telah ditanya oleh seorang bapa, "sesungguhnya
aku mempunyai seorang anak perempuan, dengan siapakah sepatutnya aku
kahwinkan dia". Saidina Ali r.a menjawab "kahwinkahlah ia dengan lelaki yang
bertakwa kepada Allah, maka jika ia menyayanginya, ia akan memuliakannya.
Maka jika ia memarahinya ia tidak akan menzaliminya(menyakitinya)".

Ingatlah para suami...

Jika engkau mendambakan isteri yang tiada kekurangan dan kelemahan,
ketahuilah sesungguhnya engkau adalah seorang yang ego dan mementingkan diri
sendiri sahaja. Engkau hanya mahu membolot kesejahteraan hidup seorang diri.
Sebenarnya kekurangan isteri kita boleh dibetulkan dengan lemah lembut tanpa
memerlukan kekasaran. Muawiah bin Ubaidah pernah bertanya kepada Rasulullah
s.a.w apakah antara tanggungjawab suami kepada isteri. Lalu Rasulullah s.a.w
menjawab, "Engkau memberi makan apa yang engkau makan. Dan jangan sekali-kali engkau menempeleng dan
memburuk-burukknya. Juga jangan sekali-kali engkau menyisihkannya keluar
dari rumah".Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud.

Wahai suami...

Tidakkah kamu mahu menerima anugerah Allah Taala yang amat besar diakhirat
kelak. Tahukah kamu apakah balasan yang akan dianugerahkan oleh Allah kepada
suami-suami yang berlaku baik terhadap isteri-isteri mereka. Renungilah
mafhum hadis ini "Mereka yang berlaku adil di hari kiamat kelak akan
bertahta di singgahsana yang diperbuat daripada cahaya. Di sebelah Al-Rahman
(Allah). Mereka adalah (orang) yang berlaku adil ketika menghukum dan
(berlaku adil) terhadap isteri-isteri mereka, dan orang yang di bawah
tanggungjawabnya". Hadis riwayat Imam Muslim.

Ingatlah para suami...

Isteri-isteri kamu sanggup meninggalkan ibu bapa dan saudara-saudara mereka
demi mengikut dan tinggal bersama kamu. Oleh itu janganlah sekali-kali kamu
mempersia-siakan pengorbanan mereka. Kamulah yang akan mengisi kekosongan
tanggungjawab ibu bapa dan saudara mereka. Mereka adalah insan yang lemah
dan sering diselubungi emosi. Mereka amat memerlukan perlindunganmu yang
dipenuhi dengan naungan kasih sayang, senyuman dan erti kepercayaan. Mereka
juga memerlukan tunjuk ajar yang baik, nasihat yang berguna dan dakwah yang
berhikmah. Ingatlah isteri kita adalah ibu kepada anak-anak kita. Ia juga
adalah sekolah kepada anak-anak kita. Sebagaimana syair Arab ada menyebut:

Ibu adalah sekolah jika engkau menyediakannya,
Ia akan menyediakan rakyat yang baik dan agung.


~ck_one~

Tiada ulasan: